"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan." [Hassan Al Basri]
Jumat, 25 April 2014
Baca Al-Quran dan Baca Tafsir Adakah Sama?
Apakah berdosa bagi seseorang membaca buku tafsir al-Quran tanpa tutup aurat, tidak ada air sembahyang. Apakah perbezaan adab membaca al-Quran dan buku tafsir. Adakah pahala membaca al-Quran dan buku tafsir sama? Maksud saya di sini ialah orang yang tidak habis mengaji al-Quran, tapi rajin membaca buku tafsir al-Quran setiap hari hingga tamat semua juzuk seperti khatam membaca al-Quran)?
Najla Pahang
Alhamdulillah wassalatu wassalamu 'ala Rasulillah, amma ba'du, terima kasih di atas soalan puan, membuktikan puan benar-benar mencintai al-Quran kerana ingin mengetahui hukum-hakamnya. Sebagai umat Islam, kita wajib mencintai dan mengamalkan kandungan kitab suci. Semoga amal ibadah puan diterima Allah SWT. Ketiga-tiga soalan puan berkisar dalam satu isu, saya menjawabnya dalam satu format.
Buku tafsir al-Quran bukanlah al-Quran itu sendiri kerana al-Quran adalah Kalamullah yang kekal abadi sedangkan buku tafsir, hasil pemahaman orang yang menulisnya. Oleh itu kedua-duanya berbeza dan kerana perbezaan inilah hukum-hakam yang berkaitan dengannya berbeza.
Mungkin yang puan maksudkan buku tafsir al-Quran adalah terjemahan tafsirnya dan bukan buku tafsirnya kerana menurut pengkaji dan ulama ulum al-Quran, tafsir adalah penjelasan dalam satu bahasa yang sama. Jadi jika al-Quran berbahasa Arab, penjelasannya dalam bahasa Arab itulah yang disebut tafsir. Kalau dalam bahasa Melayu, ia adalah terjemahan tafsir al-Quran. Ini perlu dijelaskan supaya pemahaman lebih jelas kerana jika kita hierakikan urutannya, tafsir al-Quran ada pada urutan kedua manakala terjemahan ada pada urutan ketiga. Urutan pertamanya adalah al-Quran.
Oleh itu, untuk soalan pertama jawapannya adalah tidak berdosa bagi seseorang membaca tanpa menutup aurat sepenuhnya dan tidak ada air sembahyang ketika memegang buku tafsir al-Quran kerana ia hanya berlaku kepada urutan ketiga. Yang kita digalakkan untuk menutup aurat sepenuhnya dan diwajibkan dalam keadaan bersuci (ada wudu') adalah ketika membaca al-Quran sambil memegang mushafnya.
Perbezaan adab membaca al-Quran dengan tafsir al-Quran, boleh diringkaskan bahawa adab membaca al-Quran dibahagikan kepada adab batin (hati) dan adab zahir. Adab hati termasuk niat suci dan ikhlas ketika membacanya, manakala adab zahir bersih tempat, menghadap kiblat, membaca isti'adazh, membaca dengan khusyuk, menangis, tartil dengan hukum hakam tajwidnya. Adab ini tidak perlu ketika membaca tafsir atau terjemahan tafsir al-Quran.
Bagi soalan ketiga jawapannya adalah tidak sama, kerana membaca al-Quran adalah satu kewajipan dan ibadah di mana satu huruf yang kita baca akan mendapat 10 pahala kebajikan seperti disabdakan Junjungan kita sama ada faham atau tidak faham orang yang membacanya itu.
Kelebihan ini tidak ada pada membaca buku tafsir atau terjemahan tafsir al-Quran. Salah satu natijahnya, orang yang hanya membaca buku tafsir al-Quran sebenarnya tidak membaca al-Quran. Dia masih mempunyai kewajipan untuk membaca al-Quran.
Oleh itu, wajib hukumnya belajar membaca al-Quran agar kita boleh membaca kitab Allah. Nabi, sahabat dan orang salih selalu membaca al-Quran dan mengkhatamkannya kerana sudah tertanam dalam hati dan minda mereka membaca al-Quran adalah satu kewajipan.
Kita juga dituntut membaca dan mengkhatamkannya sekali dalam tiga hari, seminggu, sebulan, atau setahun menurut kemampuan kerana di dalamnya juga banyak berkah dan manfaat bagi kehidupan kita di dunia dan di akhirat kelak. Wallahu a'lam bishshawab.
Kutipan dari http://nurulhudaaisyah.blogspot.com/2006/04/fadilat-baca-al-quran-tafsir-berbeza.html
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar